Selasa, 31 Mei 2016

EDU3093 GURU DAN CABARAN SEMASA - GURU BERINOVASI DALAM PdP

1.0       Guru Berinovasi di Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Guru berinovasi adalah guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi. Di samping itu, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
"Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.

(Tan Sri Muhyiddin Yassin,  sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’).

            1.1       Definisi Guru Inovasi

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru.    Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah “inovatif” yang bererti bersifat inovasi.  Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru.  (Zainal bin Haji Bujang, 2008).

Oleh itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman(2003), guru perlu cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Noriati A. Rashid (2009), menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang tumpuan.  Halizah Hamzah(2009), pula berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran Antara kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan Alam Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa mereka sedang belajar.  Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang grafik manakala bagi murid yang kurang berminat untuk belajar.  Guru turut boleh mendorong pembelajaran pembelajaran aktif dengan menggunakan audio visual yang menarik selain daripada menggunakan banyak peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau menggalakkan murid menghasilkan sendiri bahan pembelajaran mereka.

1.2       Guru Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan jasmani dan kesan terhadap perkembangan murid.

Inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani mempunyai kepentingannya dalam sistem pendidikan di sekolah. Melalui inovasi dalam aktiviti pengajaran pendidikan jasmani secara kerap mampu memberi kesan positif terhadap perkembangan psikomotor, kognitif dan afektif dalam kalangan murid dengan lebih menyeluruh. Ianya bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, interlek dan sosial.  

Oleh itu, dalam aspek pengajaran Pendidikan jasmani guru perlu memberi tumpuan terhadap perlaksanaan aktiviti-aktiviti baru yang dapat menarik minat murid disamping untuk melatih kecergasan fizikal pelajar. Terdapat beberapa cara yang dicadangkan disini untuk membantu kita dalam menjadi seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang berinovasi dalam pengajaran dan pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan setaraf dengan mata pelajaran teras yang lain.

1.2.1    Guru Pendidikan Jasmani sebagai role model terbaik

Sebagai pendidik, kita tidak akan terlepas dari pandangan masyarakat sekeliling. Guru dianggap sebagai contoh terbaik kepada murid-muridnya. Semua aspek perlu diambil kira samada dari aspek peribadi guru itu sendiri, sikap, cara pemakaian dan sebagainya. Begitu juga dengan guru Pendidikan Jasmani perlu menunjukkan penampilan yang terbaik dan setanding atau lebih hebat berbanding dengan guru-guru mata pelajaran yang lain.

1.2.2    Mata Pelajaran Pendidikan Jasmani Diajar Oleh Guru Opsyen

Untuk melihat inovasi dapat dilakukan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani, ialah dengan cara mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah diajar oleh guru opsyen. Ini bertujuan untuk memastikan murid mendapat ilmu yang sepatutnya dan bukannya berlari tiga pusingan dan bermain bola setiap kali masa Pendidikan Jasmani. Selain itu, aspek asas pergerakan iaitu berlari, melompat dan melontar harus diterapkan di dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan demikian, guru yang benar-benar terlatih dapat memikirkan aktiviti yang sesuai dengan mengembangkan idea-idea baru dalam proses pengajarannya. Guru-guru Pendidikan Jasmani yang terlatih dan mendapat kursus mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkara ini. Seterusnya, pengajaran akan lebih berbentuk  kreatif, dinamik dan inovatif yang akan membawa kepada rasa seronok murid ketika melakukan aktiviti. Maka, adalah wajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani diajar oleh guru opsyen. Sejajar dengan matlamat KSSR iaitu mempertingkatkan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan diri, keluarga, masyarakat serta persekitaraan, pengetahuan ini telah ada di dalam guru opsyen yang bakal menghadiri kursus itu.

1.2.3    Syor Pendidikan Jasmani sebagai subjek teras dan dimasukkan
dalam peperiksaan UPSR.

Seperti mata pelajaran teras yang sedia ada iaitu Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains, mata pelajaran Pendidikan Jasmani boleh dijadikan mata pelajaran teras dan dimasukkan dalam peperiksaan UPSR. Peranan kurikulum dalam pendidikan di Malaysia adalah untuk mengembangkan potensi murid-murid dari segi intelek, jasmani, rohani dan sosial secara seimbang dan menyeluruh, membina sifat-sifat yang boleh membawa ke arah perpaduan negara serta menghasilkan tenaga rakyat yang mahir dan terlatih untuk keperluan negara. Di sini jelas hasrat pendidikan di Malaysia ialah ingin melahirkan individu yang seimbang dari jasmani. Justeru itu, mata pelajaran ini sebenarnya akan melahirkan murid yang cergas dan berdisiplin ketika pengajaran dan pembelajaran berjalan.

Oleh itu, secara tidak langsung murid akan menjadi cerdas dan mudah mematuhi arahan walaupun ketika mata pelajaran lain diajar. Di negara Barat misalnya, subjek Pendidikan Jasmani merupakan subjek teras dan menjadi keutamaan berbanding subjek-subjek yang lain. Tetapi berbeza apa yang berlaku di negara Malaysia, subjek Pendidikan Jasmani tidak diutamakan. Malahan bukan sahaja golongan ibubapa menganggap mata pelajaran ini kurang penting tetapi ada juga golongan berpendidikan yang menganggap ia tidak memberikan faedah kepada murid-murid.

Maka dengan itu, sebagai guru yang mempunyai matlamat dan impian melihat anak muridnya berjaya dalam peperiksaan akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih menarik den menyeronokkan. Guru pendidikan jasmani juga dapat memikirkan inovasi-inovasi yang dapat dilasanakan terhadap mata pelajaran pendidikan jasmani seperti mata pelajaran teras yang lain apabila mata pelajaran ini di masukkan dalam peperiksaan yang besar seperti UPSR.

1.2.4    Kerap mengikuti kursus-kursus khas untuk mata pelajaran              Pendidikan Jasmani

Sememangnya bagi memartabatkan sesuatu perkara antara lain langkah untuk mencapai hasrat itu ialah dengan mengadakan kursus-kursus khas. Tujuan utama kursus ini dibuat adalah bagi memberi input-input baru dan melatih guru-guru untuk mengaplikasi teori yang telah dipelajari melalui pengajaran mikro. Kaedah dan pengajaran guru harus dipelbagaikan pada setiap masa dan mengambil kira penglibatan dan penerimaan murid terhadap kemahiran yang diajak.

Oleh itu, idea-idea baru apat diketengahkan oleh guru pendidikan jasmani apabila telah melalui kursus-kursus pendidikan jasmani. Malahan melalui kursus-kursus tersebut guru dapat bertukar-tukar pendapat dan idea untuk menjadikan pengajaran pendidikan jasmani lebih berinovatif dan kteatif. Kursus-kursus ini juga seharusnya dihadiri oleh guru-guru Pendidikan Jasmani dan bukannya guru mata pelajaran lain seperti mata pelajaran Matematik. Ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan guru tentang ilmu akan disampaikan semasa kursus itu nanti. Sehubungan itu, jurulatih-jurulatih yang akan menyampaikan ilmu di dalam kursus itu nanti hendaklah jurulatih yang bertauliah. Langkah-langkah ini perlu dititik-beratkan dan ianya sesuai dengan hasrat memartabatkan Pendidikan Jasmani di mata masyarakat di negara Malaysia khususnya.


1.2.5    Memberi kesedaran kepada murid-murid, ibubapa, guru-                  guru dan masyarakat tentang kepentingan Pendidikan Jasmani

Di peringkat ini, guru berperanan penting untuk memberi kesedaran kepada murid-murid, ibubapa, guru-guru dan masyarakat tentang kepentingan mata pelajaran Pendidikan Jasmani bukan sahaja di dalam peperiksaan tetapi juga di dalam kehidupan seharian murid-murid. Kecergasan keseluruhan adalah integrasi komponen-komponen mental, sosial, emosi, dan rohani. Maka antara kepentingan kecergasan ialah membolehkan individu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Kecergasan keseluruhan mencerminkan perasaan seseorang individu tentang kehidupan serta keupayaan diri berfungsi dengan lebih cekap.

Selain itu, murid hendaklah didedahkan tentang kelebihan memiliki kesihatan yang baik dan tahap kecergasan yang baik. Kesedaran ini penting kepada murid supaya mereka lebih menghayati nilai yang akan mereka perolehi daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Manakala unsur kemahiran berfikir hendaklah diserapkan di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Kemahiran berfikir merupakan satu proses yang menggunakan minda untuk mencari makna dan seterusnya penyelesaian terhadap sesuatu keraguan atau masalah yang timbul dengan menggunakan pelbagai cara iaitu dengan membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logik dan munasabah terhadap proses yang dialami (Edward de Bono,1976, Dewey, 1910). Oleh yang demikian, secara tidak langsung mata pelajaran Pendidikan Jasmani dapat dilaksankan dengan berkesan dan inovatif.

1.2.6    Menggunakan Teknologi Maklumat Dalam Pengajaran                      Dan Pembelajaran Pendidikan Jasmani

Sejajar dengan hasrat kerajaan membestarikan semua sekolah, penerapan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dengan menggunakan internet menjadikan satu lagi langkah bagaimana membuat inovasi dalam mata pelajaran ini. Walaupun tidak semua sekolah memiliki kemudahan internet, tetapi kerajaan telah mengambil satu langkah bijak iaitu sekolah-sekolah di luar bandar telah dilengkapkan dengan kemudahan internet dan tenaga solar bagi menaik taraf serta memberi peluang kepada murid-murid di kawasan pendalaman menikmati kemudahan ini. Justeru itu, murid-murid boleh melayari laman-laman web yang berkaitan dengan Pendidikan Jasmani. Penggunaan internet di kalangan murid-murid bukan lagi satu benda baharu pada masa kini, oleh yang demikian pengajaran dan pembelajaran untuk mata pelajaran ini akan lebih menarik.

1.2.7    Penyerapan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dalam                   pengajaran mata pelajaran lain di sekolah

Penyerapan mata pelajaran pendidikan jasmani ke dalam mata pelajaran lain juga merumakan satu inovasi yang boleh dilakukan oleh guru pendidikan jasmani. Namun sebelum melaksanakannya, panduan perlu diberikan oleh guru pendidikan jasmani kepada guru mata pelajaran lain sebelum melaksnakannya. Supaya program seperti ini dapat dilaksanakan dengan baik.

  1. Penyerapan adalah apabila ilmu pengetahuan daripada beberapa bidang diserapkan menjadi satu mata pelajaran.
  2. Program KSSR, unsur-unsur isi kandungan mata pelajaran Sains dan Kajian Tempatan diserap menjadi isi mata pelajaran bahasa.
  3. Sebahagian unsur mata pelajaran yang lain seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Muzik juga diserap dalam program bahasa sebagai aktiviti sokongan.

Contohnya, ketika guru mata pelajaran matematik yang ingin mengajar mengenal angka 1 hingga 100. Guru tersebut boleh menggunakan kaedah seperti murid menyebut angka sambil melakukan senaman badan. Penyerapan subjek Pendidikan Jasmani dan bukan sahaja menarik minat murid, malah martabat mata pelajaran ini dapat ditingkatkan lagi.

          1.2.8    Pentaksiran Pendidikan Yang Lebih Sistematik

Untuk memastikan keberkesanan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran yang telah dikendalikan oleh guru pendidikan jasmani, penilaian secara sistematik dan berasingan perlu pula dilaksanakan.

Pentaksiran formatif berasaskan sekolah:
  1. Dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran.
  2. Menggunakan kaedah pentaksiran pelbagai.
  3. Bersifat autentik dan holistik.
  4. Modul pengajaran dan pembelajaran mengandungi cadangan aktiviti pemulihan dan pengayaan.

Dengan adanya pentaksiran seperti ini maka dapatlah guru menilai tahap penguasaan murid dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani secara berterusan. Pelaksanaan ujian ini dilakukan sekali dalam setiap semester.Hasil ujian ini akan memberi maklumat terperinci kepada guru Pendidikan Jasmani tentang tahap kecergasan murid-murid. Oleh yang demikian, guru dapat membuat penambahbaikan dalam pengajarannya disamping dapat memikirkan inovasi atau idea-idea baru yang dapat diketengahkan untuk melihat kejayaan murid dapat dikecapai dan ditingkatkan.

1.2.9    Mewujudkan ruang-ruang bacaan atau pondok                                   Pendidikan Jasmani

Dalam menterjemahkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan ini sebagai satu mata pelajaran yang menarik, beberapa kaedah dari mata pelajaran yang lain boleh ditiru. Misalnya, mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah sering mewujudkan ruang-ruang bacaan dan pondok Bahasa Malaysia. Kita juga perlu mewujudkan ruang dan pondok yang menarik sebagai tempat rujukan dan penambahan ilmu pengetahuan murid. Keseronokan pasti akan tercipta dan minat murid pasti akan lebih mendalam terhadap mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

                               1.2.10  Menganjurkan Minggu atau Bulan Pendidikan Jasmani di                                                  peringkat sekolah

Pihak sekolah boleh menganjurkan minggu atau bulan Pendidikan Jasmani di peringkat sekolah yang dikelola oleh Unit Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Antara tujuan Minggu dan Bulan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan ini ialah:

  1. Memberi kesedaran tentang kepentingan dan peranan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan kepada murid dan masyarakat setempat.
  2. Menyediakan satu ruang kepada murid untuk menyelami lebih dekat tentang subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.
  3. Memberi pendedahan tentang kelebihan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan termasuklah:

  1. Aktiviti yang berbentuk pertandingan. Contohnya melukis dan permainan.
  2. Pameran.
  3. Perlawanan persahabatan
  4. Ceramah.
  5. Menjual buku-buku atau risalah berkaitan dengan subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.


Melalui aktiviti minggu dan bulan pendidikan jasmani, guru yang terlibat dapat mengemukakan idea-idea baru bagi memastikan program yang dilaksanakan berjaya dan memberi impak kepada perkembangan psikomotor, kognitif dan afektif murid.


          Rujukan

Abdul Wahid Nuruddin. (1996). Stres pekerjaan di kalangan guru. Satu Kajian Kes.              Tesis  (B.Ed) .

Amir Hasan Dewi. (1999). Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books.

Aziz Yahya, Jamaludin Ramli, Mazeni Ismail. (2010). Stress dalam kalangan guru sekolah menangah di empat buah negeri di malaysia. Asia Pasific Journal Of Educators and Education, Vol 25 , 103-136.

Faridah Karim dan Zubaidah Aman . (1998). Implikasi Burnout di kalangan guru terhadap sistem pendidikan. Posiding Seminar Isu-Isu Pendidikan Negara , 317-333.

Foo Say Fooi. (2005). Etika perguruan: Jaminan peningkatan profesionalisme. Serdang:Penerbitan Universiti Putra Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Kreativiti dan inovasu; Elemen Merentas Kurikulum. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan2006-  2010  Retrieved Februari 27, 27, from http://www.moe.gov.my/tayang.php?laman=home&bhs=my

Modul HN2013 Kenegaraan Pendidikan Jarak jauh. (2011). Unit 10 isu-isu dan cabaran negara. Tanjung Malim: Universiti Perguruan Tanjung Malim.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah. (2010). Cabaran integrasi antara kaum di Malaysia : perspektif  sejarah, keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari , 1985-6830.

Muhyiddin Tun Hussin. (2012, ogos 13). Guru berinovasi adalah berkulaiti. Retrieved Mac 4, 2015, from Berita Harian Online: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guru berinovasi adalah guru berkualiti Muhyiddin/Article pada 13 Ogos

Noraiti A. Rashid. (2010). Guru dan cabaran semasa. Selangor: Oxford Fajar Sd. Bhd.

Sanusi Osman. (1989). Ikatan etnik dan kelas di Malaysia. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul hubungan etnik. Shah Alam Selangor: UPENA.Syed Ismail, Ahmad Subki. (2010). Asas kepimpinan & perkembangan profesional. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Zahrin Ramlan. (2009). Guru inovatif didik pelajar alaf kini. Kuala Lumpur: Pendidkan.


Zakiah Arshad. (2003). Stres kerja di kalangan guru-giri sekolah rendah. Satu kajian di Zon  Bandar .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan